Jumaat, Julai 23, 2010

Pantun Gurindam Jiwa

Tuai padi antara masak,
esok jangan layu-layuan,
intailah kami antara nampak,
esok jangan rindu-rinduan.

Anak Cina memasang lukah,
lukah dipasang di Tanjung Jati,
di dalam hati tidak ku lupa,
bagai rambut bersimpul mati.

Batang selasih permainan budak,
daun sehelai dimakan kuda,
bercerai kasih bertalak tidak,
seribu tahun kembali juga.

Burung merpati terbang seribu,
hinggap seekor di tengah laman,
hendak mati di hujung kuku,
hendak berkubur di tapak tangan.

Kalau tuan mudik ke hulu,
carikan saya bunga kemboja,
kalau tuan mati dahulu,
nantikan saya di pintu syurga.


Sumber: Lagu Gurindam Jiwa

Celik Peribahasa


Kaki sudah terlangkahkan, tangan sudah terjembakan.
Maksud: Telah terlanjur melakukan sesuatu.

Kaki untut dipakaikan gelang.
Maksud: Hendak memperelok sesuatu, tetapi semakin buruk jadinya.

Anak harimau jangan diajak bertampar, ingat-ingat kukunya.

Maksud: Jangan mencari musuh dengan orang yang lebih kuat dan lebih persediaannya.

Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.
Maksud: Yang baik itu biar di mana pun tempatnya akan tetap baik juga.

Adat periuk berkerak, adat lesung berdedak.
Maksud: Tiap-tiap usaha memerlukan ketabahan dan kerajinan

Bahasa pasar serta penggunaan kontemporari…..


Bahasa Melayu Pasar turut termasuk sebilangan perkataan slanga, terbentuk daripada pengubahsuaian daripada perkataan dalam Bahasa Melayu Piawai ataupun dicedok daripada bahasa lain, sering digunakan terutamanya dalam kalangan masyarakat bandar, yang mungkin sukar difahami generasi terdahulu, contohnya awek (gadis); balak (jejaka); usha (perhati); skodeng (intai); cun (cantik); poyo/slenge (buruk) dan lain-lain. Kata ganti nama yang baru turut direka dengan menggunakan gabungan kata ganti nama sedia ada dengan perkataan orang, contohnya kitorang (kita + orang, menggantikan perkataan kami); korang (kau + orang, bagi merujuk kepada ramai orang); diorang atau derang (dia + orang, menggantikan perkataan mereka).
Sebilangan penutur bahasa Melayu, terutamanya di bandar-bandar besar, juga sering menukar bahasa (code-switching) antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, yang seterusnya membentuk bahasa rojak. Contoh pinjaman kata yang digunakan ialah: Bestlah tempat ni (Baguslah tempat ni); Kau ni terror lah (Kau ni hebatlah). Akibatnya, fenomena ini melahirkan rasa kurang senang dalam kalangan pencinta bahasa di Malaysia, yang sering memperjuangkan penggunaan bahasa kebangsaan dengan betul.

Bahasa jiwa bangsa, bahasa menunjukkan bangsa.

Sumber: Wikipedia Bahasa Melayu

Ingin tahu tentang bahasa Melayu?

Bahasa Melayu adalah sebuah bahasa Austronesia dan mempunyai kaitan yang rapat dengan bahasa-bahasa etnik lain yang dituturkan di Nusantara. Bahasa ini dituturkan di seluruh Kepulauan Melayu Nusantara yang antaranya di Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Filipina malah sehingga Pulau Christmas di Australia. Bahasa Melayu juga pernah menjadi bahasa lingua franca pada kemuncak Kesultanan Melayu Melaka. Sejak kebelakangan ini kepentingan Bahasa Melayu semakin disedari oleh masyarakat di dunia.
Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/bahasa Urdu. Selain itu, dilaporkan sebanyak 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China, terdapat radio dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand dan beberapa tempat yang lain.
Penggunaan Bahasa Melayu di sesebuah negara berbeza bergantung kepada sejarah dan budaya. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia pada 1968, tetapi Bahasa Inggeris masih digunakan dengan luas terutama sekali dalam kalangan masyarakat Cina dan India, sama seperti di Brunei ketika itu. Berbeza di Indonesia, Bahasa Indonesia berjaya menjadi bahasa perantaraan utama atau lingua franca untuk rakyatnya yang berbilang kaum dan Bahasa Belanda tidak lagi digunakan.
Di Singapura, Bahasa Melayu dikekalkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan walaupun Singapura mempunyai empat bahasa rasmi (iaitu Bahasa Inggeris, Cina, India, dan Melayu.) Di selatan Thailand, bahasa Melayu digunakan oleh orang-orang daripada Kesultanan Melayu Patani (orang Melayu Pattani), tetapi tidak memperolehi sebarang pengiktirafan daripada kerajaan mereka.


Dipetik dan diubahsuai:
Wikipedia Bahasa Melayu,
ensiklopedia bebas

Ahad, Julai 11, 2010

Bahasa Jiwa Bangsa

Panitia Bahasa Melayu mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan Bulan Bahasa Melayu 2010. Diharapkan segala usaha kita memartabatkan Bahasa Kebangsaan akan berjaya kelak.