Jumaat, Julai 23, 2010

Ingin tahu tentang bahasa Melayu?

Bahasa Melayu adalah sebuah bahasa Austronesia dan mempunyai kaitan yang rapat dengan bahasa-bahasa etnik lain yang dituturkan di Nusantara. Bahasa ini dituturkan di seluruh Kepulauan Melayu Nusantara yang antaranya di Indonesia, Malaysia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Filipina malah sehingga Pulau Christmas di Australia. Bahasa Melayu juga pernah menjadi bahasa lingua franca pada kemuncak Kesultanan Melayu Melaka. Sejak kebelakangan ini kepentingan Bahasa Melayu semakin disedari oleh masyarakat di dunia.
Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/bahasa Urdu. Selain itu, dilaporkan sebanyak 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China, terdapat radio dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand dan beberapa tempat yang lain.
Penggunaan Bahasa Melayu di sesebuah negara berbeza bergantung kepada sejarah dan budaya. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia pada 1968, tetapi Bahasa Inggeris masih digunakan dengan luas terutama sekali dalam kalangan masyarakat Cina dan India, sama seperti di Brunei ketika itu. Berbeza di Indonesia, Bahasa Indonesia berjaya menjadi bahasa perantaraan utama atau lingua franca untuk rakyatnya yang berbilang kaum dan Bahasa Belanda tidak lagi digunakan.
Di Singapura, Bahasa Melayu dikekalkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan walaupun Singapura mempunyai empat bahasa rasmi (iaitu Bahasa Inggeris, Cina, India, dan Melayu.) Di selatan Thailand, bahasa Melayu digunakan oleh orang-orang daripada Kesultanan Melayu Patani (orang Melayu Pattani), tetapi tidak memperolehi sebarang pengiktirafan daripada kerajaan mereka.


Dipetik dan diubahsuai:
Wikipedia Bahasa Melayu,
ensiklopedia bebas

Tiada ulasan:

Catat Ulasan